Jumaat, 26 Oktober 2012


Adakah Teknologi Komunikasi Mendominasi Kehidupan Belia?

           Cuba tanya orang sekeliling kita termasuklah ibu bapa kita yang dari generasi yang lebih tua daripada kami. Bagaimanakah mereka berkomunikasi dengan orang lain yang berada di tempat yang sangat jauh? Sekarang cuba bandingkan generasi kini dengan generasi dahulu apabila kita berada di situasi yang disebutkan di atas. Generasi kini akan mengguna teknologi komunikasi yang terkini bagi mengatasi masalah daripada menggunakan kaedah tradisional dan manual. Aspek ini merupakan perbezaan antara generasi kini dan generasi lepas.

            Contoh di atas telah menunjukkan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi mengubah cara manusia berkomunikasi dengan orang lain. Berkomunikasi dengan orang lain dan saling bertukar infomasi serta maklumat merupakan keperluan asas manusia. Dulu, berada di tempat jauh sukar untuk menghubungi antara satu sama lain. Sekarang, teknologi komunikasi membolehkan kita menggunakan alat seperti telefon bagi kita menghubungi orang lain yang berada di tempat yang jauh dalam masa yang singkat. (Bruce & Hilvert, 2006) Rancangan Malaysia Kesembilan telah menunjukkan sektor teknologi maklumat dan komunikasi merupakan salah satu sektor yang amat penting bagi pertumbuhan ekonomi negara disebabkan perkembangan sektor ini yang pesat. Perkara ini telah menunjukkan teknologi komunikasi telah mendominasi dunia sekarang dan secara langsungnya ia menjadi sebahagian dalam kehidupan kita.

Menurut World Youth Report 2003, telefon bimbit dan komputer merupakan alat teknologi maklumat dan komunikasi yang diperlukan oleh kita dalam kehidupan. Penggunaan harian peralatan tersebut semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak terutamanya negara yang kaya seperti Finland dan Japan. Contohnya, peratusan kanak-kanak antara umur 7 tahun sehingga umur 10 tahun di negara Finland yang mempunyai telefon bimbit sendiri adalah kurang daripada 5 peratus tetapi kadar peratusan telah meningkat kepada 30 peratus pada tahun 2001. Dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 15 tahun, peratusan kanak – kanak mempunyai telefon bimbit adalah 15 peratus pada tahun 1999 dan telah mencapai peningkatan peratusan sehingga ke 66 peratus pada tahun 2001. Belia telah mengaplikasi penggunaan ICT  dalam kehidupan mereka. Kewujudan ICT telah menjadikan kehidupan belia generasi kini berbeza dengan belia generasi awal.

Belia di Malaysia juga tidak dapat melarikan diri daripada arus pemodenan ini di mana kebanyakan belia mempunyai telefon bimbit. Menurut kajian “Mobile Phone and Short Message Service Appropriation, Usage and Behavioral Issues among University Students” yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Malaya telah menjelaskan tren belia generasi kini dalam menggunakan telefon bimbit. Terdapat sebanyak 34.5 juta rakyat Malaysia yang mempunyai telefon bimbit. Pengenalan sistem pra-bayar oleh syarikat telekomunikasi telah meningkat penggunaan telefon bimbit terutamanya golongan belia yang menyumbang lebih daripada 30% daripada jumlah pengguna telefon mudah alih di Malaysia. Dalam kajian ini, telefon bimbit digunakan sebagai medium bagi menguruskan komunikasi harian. (Dimmick et al., 1994). Kajian ini yang dijalankan antara 417 orang belia dari bandar telah menunjukkan belia tidak dapat hidup tanpa telefon bimbit sehingga berasa tidak selesa jika telefon bimbit tidak berada dengan mereka. Kajian ini juga menunjukkan belia terlalu bergantung pada telefon bimbit sehingga mereka berasa tertekan jika seseorang tidak menjawab panggilan atau membalas mesej pesanan ringkas mereka. Tambahan lagi, kajian ini yang dijalankan dalam kalangan belia ini telah menunjukkan jenama dan tren menjadi faktor utama mereka membeli telefon bimbit.

Kenapa belia generasi kini gemar dan mengejar telefon bimbit yang berjenama dengan harga yang mahal sedangkan terdapat pilihan lain yang lebih murah tersedia di pasaran? Menurut kajian yang disebutkan di atas, jenama seperti Nokia, Samsung dan Sony Ericson serta tren seperti skrin menjadi simbol status dan belia berasa bangga dan berasa diri bergaya apabila mempunyai telefon bimbit yang berjenama kini. Menurut Cant and Machado (2004), kesedaran jenama dalam kalangan kanak-kanak bermula sejak umur 3 tahun. Belia generasi kini didedahkan dengan teknologi canggih terlalu awal sehingga mereka tidak dapat hidup tanpanya dan sering mengejar telefon bimbit yang canggih bagi memenuhi keperluan mereka. Telefon bimbit yang hanya mempunyai fungsi membuat atau menerima panggilan dan menghantar atau membalas mesej pesanan ringkas tidak lagi memenuhi keperluan belia sekarang malah telefon bimbit perlulah mempunyai fungsi kamera, mendengar lagu dan yang paling penting sekali mempunyai fungsi WIFI.

Syarikat telefon bimbit yang sedar terhadap potensi pasaran golongan belia sering mengeluarkan telefon bimbit yang canggih dengan fungsi yang semakin bertambah dan reka bentuk yang semakin cantik bagi memenuhi keperluan pasaran kerana golongan ini suka terhadap benda yang baru. Justeru, fenomena biasa boleh dilihat pada belia sekarang di mana mereka sering menggunakan telefon bimbit sama ada membuat panggilan, menghantar mesej pesanan ringkas ataupun melayari Internet di mana-mana tempat. Belia juga biasa dengan menyemak atau melayari telefon bimbit mereka walaupun tiada sesiapa yang membuat panggilan atau menghantar mesej pesanan ringkas kepada mereka. Perkara ini berlaku kerana mental belia yang sudah biasa dengan rutin ini dan mereka akan berasa tertekan jika rutin ini tidak dilakukan.

Secara kesimpulannya, memang tidak dapat dinafikan bahawa teknologi komunikasi sudah menjadi sebahagian dalam kehidupan kita terutamanya golongan belia. Perkara ini berlaku kerana segala maklumat akan disampaikan melalui teknologi komunikasi. Belia yang tidak peka terhadapnya hanya akan ketinggalan dan tidak dapat bersaing dengan orang lain dalam arus zaman teknologi kini. Namun, setiap perkara yang wujud di dunia ini mempunyai kebaikannya dan keburukannya. Manusia yang tidak menggunakannya secara wajar hanya akan mendatangkan impak negatif yang tidak selari dengan tujuan asal alat itu dicipta kerana setiap perkara di dunia ini tidak wujud dalam kekosongan. Justeru, belia sebagai tunggak negara kita harus menggunakan alat teknologi komunikasi secara wajar dan bukannya terlalu bergantung pada alat tersebut.





Sumber: :

Bruce, L., & Hilvert, J. (2006) Communications Technology. United States of America :
Smart Apple Media

http://books.google.com.my/books?id=F1rbAAAAMAAJ&q=COMMUNICATION+TECHNOLOGY&dq=COMMUNICATION+TECHNOLOGY&hl=en&sa=X&ei=ZeyLUOYFhOqtB8ungMAO&ved=0CEIQ6AEwAw

http://www.malaysia.gov.my/EN/RELEVANT%20TOPICS/INDUSTRYINMALAYSIA/BUSINESS/IC T/Pages/  ICT.aspx

http://www.un.org/esa/socdev/unyin/documents/ch12.pdf

http://unworldyouthreport.org/index.php?option=com_content&view=article&id=76&Itemid=170

http://uir.unisa.ac.za/bitstream/handle/10500/717/dissertation.pdf?sequence=1
thescipub.com/pdf/10.3844/jssp.2012.364.371 


Teng Ai Ling

Tiada ulasan:

Catat Ulasan