Sabtu, 1 Disember 2012

Penyakit Bawaan Perkembangan Teknologi Komunikasi

Teknologi komunikasi telah semakin berkembang selaras dengan peredaran masa. Pada hari ini, penggunaan alat- alat teknologi komunikasi seperti telefon bimbit dan komputer adalah sangat biasa dalam kalangan belia. Alat- alat yang canggih ini telah membawa banyak kemudahan kepada kehidupan seharian kita. Dari segi pendidikan, penggunaan E-learning dan enjin carian seperti Google telah memudahkan proses pembelajaran, laman sosial seperti Facebook dan Youtube telah merapatkan hubungan sesama manusia, penciptaan telefon bimbit pula telah memudahkan pengurusan tugasan harian kita. Namun, di sebalik kebaikan yang berlimpah- limpah ini, penggunaan alatan teknologi komunikasi yang berlebihan akan membawa kepada satu masalah yang asas dan akan dihadapi oleh kebanyakan pengguna, iaitu penjejasan kepada kesihatan.

Kebanyakan pengguna teknologi komunikasi adalah terdiri kepada golongan belia disebabkan mereka sering merupakan kumpulan masyarakat yang paling peka terhadap perubahan tren terkini. Menurut kepada satu statistik yang dijalankan oleh Nielsen di mana ia melibatkan lebih daripada 35, 000 pengguna di 23 buah negara, data menunjukkan bahawa hampir 36% pengguna telefon pintar di Malaysia adalah mereka yang berumur antara 25 hingga 34 tahun. (My Sinchew, 2012) Selain itu, dalam satu statistik yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, ia juga menunjukkan bahawa penggunaan telefon bimbit dalam golongan remaja semakin meningkat dan terdapat 20.5% daripada 92.5% pengguna telefon bimbit adalah para remaja. Data- data ini telah menunjukkan kepentingan teknologi komunikasi terhadap golongan belia dalam kehidupan seharian mereka.

Berhubung dengan isu kesihatan yang disebut di atas, hari ini, kita akan membincangkan tentang masalah kesihatan yang akan dibawa oleh teknologi komunikasi yang canggih kepada golongan belia. Telefon bimbit pada masa kini telah semakin canggih dan mempunyai banyak fungsi yang lain selain daripada digunakan sebagai alat komunikasi. Telefon pintar yang sangat popular pada kebelakangan ini boleh digunakan untuk menonton drama, mendengar lagu, bersembang secara percuma dengan adanya aplikasi- aplikasi seperti Viber, WhatsApp, dan WeChat. Penambahbaikan telefon pintar ini telah memanjangkan masa penggunaan telefon oleh para pengguna. Daripada satu kajian yang dilakukan oleh Harris Interactive terhadap remaja di Amerika Syarikat, ia mengatakan bahawa SMS (Short Messaging System) telah menggantikan perbualan bersemuka dalam kalangan remaja. Remaja mengakui bahawa mereka menghabiskan masa yang hampir sama dalam SMS dan berbual secara bersemuka dalam tempoh sebulan. (Marketing Charts, 2008) Penggunaan telefon bimbit yang berleluasa ini menunjukkan golongan belia telah mengabaikan isu radiasi telefon bimbit yang boleh membahayakan kesihatan mereka.

Telefon bimbit akan memancarkan E.M.R, iaitu Radio Elektromagnet yang merupakan sejenis sinaran frekuensi berbahaya. Seiring dengan penambahbaikan fungsi telefon bimbit pada akhir tahun ini, gelombang mikro paras tinggi yang dipancarkan oleh telefon bimbit akan menjejaskan kesihatan tubuh badan. (Pri Medicare, 2009) Beberapa tahun yang lepas kerajaan, Britian mengumpulkan sebilangan saintis bagi menghasilkan laporan berkaitan penggunaan telefon bimbit. Menurut laporan tersebut, pada usia muda, tengkorak remaja dan kanak-kanak masih dalam proses pembentukan dan gelombang daripada telefon bimbit lebih mudah menerobos masuk ke dalam tengkorak mereka dan seterusnya menjejaskan pertumbuhan otak. Sel dalam tubuh golongan ini juga masih belum matang, terutamanya sel otak menyebabkan ia lebih mudah menyerap radiasi daripada telefon bimbit. (Omar) Mengikut Steward Report pada Mei 2000, ia menyarankan golongan yang di bawah umur 16 tidak dibenarkan untuk menggunakan telefon bimbit dengan sepenuhnya, dan sekiranya mereka terpaksa didedahkan dengan penggunaan tersebut, penggunaan mereka harus dipantau oleh penjaga. (Alasdair) Hal ini adalah untuk mengelakkan penggunaan telefon bimbit yang berlebihan oleh golongan belia.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Division of Neurosurgery, Lund Universiy di Sweden, Henrietta Nittby menggunakan tikus sebagai bahan kajian. Beliau membandingkan tikus yang didedahkan kepada radiasi telefon bimbit selama dua jam seminggu untuk tempoh setahun dengan tikus yang hidup dalam persekitaran yang normal. Kajian menunjukkan bahawa tikus yang terdedah dengan radiasi telefon bimbit mempunyai daya ingatan yang lebih lemah berbanding dengan tikus yang tidak didedahkan kepada radiasi. (Lund University, 2008) Professor Darius Leszcynski dari Finland juga telah membuat satu kajian tentang kesan radiasi telefon bimbit terhadap manusia. Dapatan kajian menunjukkan radiasi dari telefon bimbit akan mengakibatkan perubahan dalam otak. Namun, kajian yang selanjutnya perlu dijalankan untuk membuktikan kesan yang lebih terperinci. (BBC News, 2002) Satu kajian dari Karolina Institute, Sweden, pula menyatakan penggunaan telefon bimbit selama 10 tahun dan ke atas akan meningkatkan risiko tumor telinga sebanyak 4 kali ganda. (BBC News, 2004) Satu lagi kajian oleh sekumpulan saintis Swedish juga menyatakan bahawa risiko menghidap tumor malignan otak adalah lima kali ganda lebih tinggi dalam kalangan kanak- kanak yang menggunakan telefon bimbit sebelum usia 20 tahun. (CPR News, 2009)

Melihat kepada kajian- kajian lepas yang dijalankan oleh saintis dan pengkaji, telefon bimbit dan produk teknologi komunikasi yang boleh mengeluarkan radiasi sememangnya tidak akan membawa kebaikan terhadap kesihatan kita jika digunakan secara berlebihan. Walaupun dalam blogpost ini, kita hanya dapat melihat kepada data- data kajian sahaja, dan berkemungkinan tidak dapat menimbulkan rasa empati pembaca, tetapi selaku pengguna telefon bimbit, kita dapat merasai bahawa penggunaan telefon bimbit untuk tempoh yang panjang akan mengakibatkan kita berasa hangat di sekeliling telinga. Banyak pengguna juga mengadu bahawa mereka mengalami tanda- tanda seperti sakit kepala, kelesuan, kebas dan kehilangan ingatan setelah menggunakan telefon bimbit untuk tempoh masa yang panjang. (Pri Medicare, 2009) Jadi, adakah sampainya masa untuk kita memikirkan kesan radiasi alatan teknologi komunikasi kepada kita dan mengawal penggunaan tersebut dengan sebaiknya?

Golongan belia pada hari ini tidak dapat mengelakkan diri mereka daripada penggunaan teknologi komunikasi.  Namun, cara penggunaan alatan tersebut boleh dikawal untuk menghindari kesan- kesan yang disebut di atas. Antaranya, kita boleh menggunakan headset atau mengaktifkan speaker semasa perbualan telefon, memindahkan telefon bimbit dari telinga kiri ke telinga kanan dari semasa ke semasa, jangan meletakkan telefon bimbit di tempat tidur anda, dan yang terpenting iaitu mengurangkan kekerapan untuk berbual- bual menggunakan telefon bimbit.

Kesihatan kita merupakan tanggungjawab kita, kita tidak sanggup untuk melihat ahli keluarga atau rakan- rakan terdedah dengan risiko penyakit yang tidak diinginkan. ‘ Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’ , jadi, kepada semua belia yang masih menggunakan alat- alat teknologi komunikasi secara berlebihan, marilah kita bersama- sama mengambil tindakan untuk mengawal penggunaan ini, di samping menjadi masyarakat informasi, kita juga harus membentuk gaya hidup yang sihat dan bebas daripada radiasi yang dipancarkan oleh teknologi komunikasi.


Disediakan oleh,
Teh Ying Hui.



Sumber:

1. My Sinchew. (2012, May 8). Smartphone ownership, usage to reach critical mass in Malaysia: Nielsen. Retrieved November 30, 2012, from http://www.mysinchew.com/node/73315

2. Alim. Persepsi Ibu Bapa Melayu Muslim Bandar Terhadap Penggunaan Telefon Bimbit Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah. Retrieved November 30, 2012, from http://eprints.utm.my/11428/1/Persepsi_Ibu_Bapa_Melayu_Muslim_Bandar_Terhadap_Penggunaan_Telefon_Bimbit_Dalam_Kalangan_Pelajar_Sekolah_Menengah.pdf

3. Marketing Charts. (2008, September 23). Cell Phones Key to Teens’ Social Lives, 47% Can Text with Eyes Closed. Retrieved November 30, 2012, from http://www.marketingcharts.com/interactive/cell-phones-key-to-teens-social-lives-47-can-text-with-eyes-closed-6126/

4. Pri Medicare. (2009, October 8). Bahaya Radiasi Telefon Bimbit. Retrieved November 30, 2012, from http://primedicare.com/index.php/sumber/32-bahaya-radiasi-telefon-bimbit

5. Omar. Kajian Kes Kesan Penggunaan Telefon Bimbit Terhadap Kesihatan Manusia. Retrieved November 30, 2012, from http://www.pmm.edu.my/jke3/index2.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=157&Itemid=46

6. Alasdair. Children and Mobile Phones. Retrieved November 30, 2012, from http://www.powerwatch.org.uk/library/downloads/children-phones-1-use-2012-03.pdf

7. Science Daily. (2008, December 5). Mobile Phones Affect Memory In Laboratory Animals, Swedish Study Finds. Retrieved November 30, 2012, from http://www.sciencedaily.com/releases/2008/12/081205095956.htm

8. BBC News. (2002, June 19). Fresh Fears over mobile phones. Retrieved November 30, 2012, from http://news.bbc.co.uk/2/hi/health/2053565.stm

9. BBC News. (2004, October 14). Mobile Phone ‘ Ear Tumours Risk’ . Retrieved November 30, 2012, from http://news.bbc.co.uk/2/hi/health/3742120.stm

10. Schmidt. (2009, March 22). Brain Cancer Linked to Youngsters Using Cellphone. Retrieved November 20, 2012, from http://cprnews.com/articles/CancerChildren/CPR-News--Brain-cancer-linked-to-youngsters-using-cellphones.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan